Thursday, January 26, 2012

Burung-burung Sawah

Tujuan aku melahirkan blog ini ialah untuk membukukan nostalgia zaman silam iaitu zaman aku sebagai kanak-kanak. Ketika itu aku hidup di sebuah kampong di Negeri Perlis, kampong yang dikelilingi sawah. Minatku terhadap burung bermula selepas negara baru mencapai kemerdekaan, maksudnya bermula ketika umurku sekitar 7 - 8 tahun hingga sekarang.

Cetusan idea untuk menulis bab burung lahir tatkala aku menulis di dalam forum http://www.anakperlis.com kira-kira 3 tahun lalu bertajuk
Nostalgia > Kisah Kampung Kita > Burung-burung Sawah.

Mengapa "Burung-burung Sawah" menjadi tajuk pilihan sedangkan sesetengah burungan terdapat bukan di dalam sawah tetapi juga di sekeliling rumah samada di kawasan perkampongan atau juga pada hari ini di dalam kawasan bandar? Jawapannya mudah kerana di sekitar sawahlah aku mula mengenali kebanyakan makhluk atau unggas yang dipanggil burung.

Penggunaan istilah seperti nama-nama burung adalah kebanyakannya menurut istilah di Negeri Perlis dan tidak ada penekanan kepada istilah saintifik. Tulisan ini sebenarnya untuk santai-santai saja,......

Burung umumnya adalah unggas yang mempunyai bulu yang cantik. Bila ku teringat kembali zaman itu, kini barulah aku terfikir bahawa aku ini seorang budak yang kejam dengan burung-burung kerana aku sanggup menyakiti atau membunuh mereka dengan cara melastik. Sekarang ini aku tidak sanggup menyakiti mereka lagi. Hatiku menjadi kasihan pilu apabila ku bayangkan betapa sakitnya ketika peluru lastik itu membelasah badannya yang kecil. Jika aku sendiri yang terkena peluru lastik pasti aku tidak tertahan sakitnya.

Aku terbayangkan juga mungkin ada anak-anak burung yang telah mati kelaparan setelah ibunya tidak lagi pulang ke sarang lantaran terkena peluru lastikku lalu mati si ibu.

Berikut ini disenaraikan nama-nama burung sawah yang aku tahu namun aku percaya ada nama-nama burung sawah yang telah tercicir.



Sunday, November 28, 2010

Perihal Memburu Ayam Hutan


oleh
Pak Mat Kayangan

Kata arwah tok menakan Pak Mat...kalau nak buru ayam hutan ni ada pantang larang dia...kalau masa masuk hutan...tengah jalan2 kat denai2...tiba ada ayam hutan lalu depan kita...jangan kejar...nanti takut sesat..

Lepas tu...kalau ternampak ada ayam hutan berdiri kat atas tunggul kayu...jangan ler tembak...kalo nak tembak ayam utan tapi was2 tak yakin ayam or sebaliknya, pastikan kaki tak jejak tanah......baru la tembak. Kalau perasan ayam utan tiba2 banyak time bulan purnama, hentikanlah beburu takut mahkluk lain menjelma.

Lain tanah perburuan; lain pantang larangnya...

Seelok eloknya bermalam dahulu di tempat berdekatan dengan tanah perburuan.

Pada malamnya itu di baca beberapa surah terpilih dan kemudian tidoq mengadap kiblat.

Jika datang mimpi (apa jua mimpi) maka hendaklan ditangguhkan perjalanan ke tempat perburuan sehingga awal petang.

Dulu ada satu insiden di mana tok menakan marah sambil meminta rakannya mengutip peluru penabur yang melekat kat belakang dia.

Katanya " Hangpa tak nampak ker aku tengah mengutip ayam hutan yang kat bawah tuh nak sembelih?"

Kata rakannya " Maaf bang, saya nampak ayam hutan tu terbang kat bawah tuh..."

"OK...La ni hang kutip balik peluru yang melekat kat belakang aku ni...."

Pantang larang dan adab beberburu di hutan tebal sememangnya diajar secara turun temurun.
Selain dari itu seseorang itu tidak boleh panas baran.
Menerima keadaan seadanya dan berkreatif.
Tidak boleh meninggalkan rakan dengan jarak yang agak jauh.
Mengikut giliran untuk menembak.
Berkongsi harta perburuan dan bersikap bertolak ansur.
Begitu juga makanan harian.

Tidak boleh memakai minyak wangi,...tidak merokok...bercakap secara berbisik dalam apa jua keadaan.Tidak memotong kayu dengan sewenang-wenangnya... (komen pemilik blog: macam pantang larang ketika dalam ihram! ha ha)

Tidak panik jika berjumpa binatang buas, binatang berbisa dan binatang besar...

Juga tidak menembak apa-apa yang bukan dalam kategori (niat) perburuan.

Melihat sekeliling dengan hati-hati menggunakan mata ketiga....

Sunday, November 21, 2010

Burung-burung Sawah : Burung Ruak-ruak @ Wak-wak ... Part II

Gambar-gambar berikut ini adalah hasil daya usaha penuh sabar daripada rakan-rakan kepada rakan di alam maya iaitu Pak Mat Kayangan (PMK). Rakan PMK merupakan beberapa orang jurugambar bertaraf pro, setakat ini penulis belum mengetahui siapa mereka. Cuma mereka berpesan kepada penulis agar tidak menggunakan gambar-gambar tersebut untuk tujuan komersial. Itu saya pasti ingat dan akur.

Penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka terutama Pak Mat Kayangan kerana telah membenarkan saya memaparkannya untuk tatapan anda sekelian di blog ini. Sikap bermurah hati serta tidak lokek ini hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat membalasnya.


Sedang santai mengeringkan bulu selepas mandi.





Ibu ini kelihatan begitu cool dengan anak-anaknya!



Sarang ruak-ruak yang dibuat di dalam daun atas ranting pokok.


Satu shot yang hebat!
Bukan mudah untuk menangkap gambar mergastua sedang terbang.

Ruak-ruakboleh berenang seperti itik.


Anak dara/teruna ruak-ruak.


Anak ruak-ruak kecil berbulu warna gelap.



Ruak-ruak adalah burung yang seksi dalam ertikata sekali kita pandang pasti mahu pandang lagi ha ha. Cuba bandingkan dengan burung gagak, adakah anda mahu melihatnya kedua kali.



Burung-burung Sawah : Burung Sintar(q)

Nota:
Gambar-gambar berikut ini adalah hasil daya usaha penuh sabar daripada rakan-rakan kepada rakan di alam maya iaitu Pak Mat Kayangan(PMK). Rakan PMK merupakan beberapa orang jurugambar bertaraf pro, setakat ini penulis belum mengetahui siapa mereka. Cuma mereka berpesan kepada penulis agar tidak menggunakan gambar-gambar tersebut untuk tujuan komersial. Itu saya pasti ingat dan akur.

Penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka terutama Pak Mat Kayangan kerana telah membenarkan saya memaparkannya untuk tatapan anda sekelian di blog ini. Sikap bermurah hati serta tidak lokek ini hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat membalasnya.

Pengalaman:

Seperkara yang cukup menarik mengenai burung sintar dalam pengalaman penulis ialah responnya kepada "pipit" (seperti serunai) yang ditiup pada waktu malam gelap di musim burung sintar galak. Sintar-sintar yang sedang berterbangan akan turun hinggap di atas pepohon berdekatan tempat penulis sedang meniup pipit. Bukan setakat itu, sintar juga akan melawan bunyi pipit tadi dengan bunyi yang nyaring lebih kurang begini, "kweekk ....krrrrrrrr" dan ia akan turun ke ranting yang lebih rendah sebagai menyahut bunyi pipit. Teruskan meniup pipit jangan berhenti, akhirnya sintar akan turun hinggap di atas tanah berhampiran tempat kita sedang meniup pipit. Harus diingat semua aksi ini hendaklah dilakukan dalam gelap, dilarang samasekali memasang lampu ataupun menyalakan api kerana sintar akan takut dan terbang.

Pipit ialah satu alat yang dicipta oleh orang kampong, diperbuat daripada daun tendut (pohon tai) yang diikat kepada buluh kecil kemudiannya dimasukkan ke dalam sebatang serombong buluh bergarispusat 50mm x 200mm panjang di mana bahagian tengah buluh tersebut ada ruas. Pada ruas tersebut ditebuk satu lubang kecil bagi memuatkan buluh kecil tadi. Bagi mengeluarkan bunyi serombong buluh tadi ditiup dan hendaklah dikeluarkan bunyi, "tot tot tot tot tot....". InsyaAllah burung sintar akan marah dan turun mencari anda ....ha ha ha.

Gambar pohon tendut dapat dilihat dalam puisi berfoto di bawah ini. Ia adalah pohon yang tinggi kelihatan seperti pohon pinang.


_____________________________________________

Inilah rupa telur Burung Sintar di dalam sarang.
Sarangnya pula dibuat di atas tanah.


Ini rupa anak Burung Sintar, warna bulu serta kakinya berbeza daripada warna sintar dewasa.

Ibu dan anak sintar.

Anak sintar





Kelihatan rupa parasnya seperti sintar dara/teruna.




Tuesday, October 5, 2010

Burung-burung Sawah : Burung Balai

Pagi ini lebih kurang pukul 7.45 ........"klpogggg" terdengar bunyi sesuatu terlanggar cermin kedai kami. Aku berlari keluar dan ternampak seekor Burung Balai jatuh terlentang, pitam agaknya di lantai. Kejadian yang serupa telah beberapa kali berlaku dan ada yang menyebabkan kematian kepada burung lain. Cermin kedai yang merupakan dinding luar bahagian hadapan kedai kami itu bila dipandang dari hadapan kedai memang akan terlihat bayangan pepohon kayu di dalamnya. Burung² yang sedang hinggap di pohon hadapan kedai memang suka terbang dan hinggap semula di pohon² berdekatan dengannya.

Ini merupakan pertama kali aku dapat memegang Burung Balai kerana ia jenis burung yang sangat liar, sukar dihampiri untuk tujuan menangkap gambar.

Selepas aku mengambilnya dari atas lantai lalu ku urut² kepala dan badannya, dia nampaknya berupaya membuka mata dan ingatannya mula pulih perlahan².

Si Balai faham bahawa aku sedang memerhatikannya, tiba saat dia merasai keselamatannya barangkali akan tergugat, dia tidak harus tunggu lebih lama lagi lantas dia mengepakkan sayapnya dan pergi. Pada ketika itu terdengar bunyi perlahan yang terkeluar dari mulutnya, barangkali dia berkata "terima kasih" laa tu ha ha.







Tuesday, July 6, 2010

Burung-burung Sawah : Lang Hindik


Inilah dia wajah seekor pengganas! Pengganas di kalangan mergastua. Perhatikan jelingan matanya yang tajam.

Diberi nama Lang Hindik sempena caranya membunuh mangsa dengan menghindik sehingga mati.

Disebabkan perangai yang ganas, dia nampaknya tidak dapat menjalinkan persahabatan walaupun dengan yang sama spesis dengannya maka di KL Bird Park ia diletakkan cuma seekor dalam satu sangkar walaupun sangkarnya cukup besar boleh memuatkan lebih dari seekor burung.

Saturday, July 3, 2010

Burung-burung Sawah : Merya Padi (Hutan)

Warna bulu putih di bahagian dada, kuning di bahagian bawah perut dan sedikit coklat di bahagian atas dan belakang hingga ke ekor.

Bunyinya. "nyiiiit, nyiiiit, nyiiiit" sering dapat di dengar di dalam kawasan semak.

Burung bersaiz sebesar ibu jari ini tidak suka tinggal di dalam kampong sebaliknya ia memilih belukar dan semak sebagai tempat tinggal dan untuk bersarang. Tabiat ini mungkin kerana ia jenis burung yang agak liar, takutkan manusia.