Tuesday, October 5, 2010

Burung-burung Sawah : Burung Balai

Pagi ini lebih kurang pukul 7.45 ........"klpogggg" terdengar bunyi sesuatu terlanggar cermin kedai kami. Aku berlari keluar dan ternampak seekor Burung Balai jatuh terlentang, pitam agaknya di lantai. Kejadian yang serupa telah beberapa kali berlaku dan ada yang menyebabkan kematian kepada burung lain. Cermin kedai yang merupakan dinding luar bahagian hadapan kedai kami itu bila dipandang dari hadapan kedai memang akan terlihat bayangan pepohon kayu di dalamnya. Burung² yang sedang hinggap di pohon hadapan kedai memang suka terbang dan hinggap semula di pohon² berdekatan dengannya.

Ini merupakan pertama kali aku dapat memegang Burung Balai kerana ia jenis burung yang sangat liar, sukar dihampiri untuk tujuan menangkap gambar.

Selepas aku mengambilnya dari atas lantai lalu ku urut² kepala dan badannya, dia nampaknya berupaya membuka mata dan ingatannya mula pulih perlahan².

Si Balai faham bahawa aku sedang memerhatikannya, tiba saat dia merasai keselamatannya barangkali akan tergugat, dia tidak harus tunggu lebih lama lagi lantas dia mengepakkan sayapnya dan pergi. Pada ketika itu terdengar bunyi perlahan yang terkeluar dari mulutnya, barangkali dia berkata "terima kasih" laa tu ha ha.