Dalam beberapa jenis burung sawah mungkin burung merbuk paling diminati kerana bunyinya yang merdu. Terdapat peminat burung merbuk yang sanggup membelanjakan wang beribu ringgit untuk memiliki merbuk yang mereka minati. Sama saja seperti peminat ikan kelisa yang sanggup membeli ikan itu dengan harga berpuluh ribu ringgit (entah-entah cuma cerita propaganda penjual ikan kelisa......).
Ada orang kata burung merbuk burung yang agak malas. Sebabnya ia membuat sarang dengan hanya menyusun 7-8 helai daun kering saja sebagai sarang. Jauh bezanya dari sarang burung cak raya atau tempua. Sarang burung merbuk selalunya dibuat di puncak pokok. Selain itu, burung merbuk mati bangkainya tidak berulat. Ini saya pernah dengar orang kata tapi belum pernah lihat. Kemungkinannya ada sejenis bahan yang beracun di dalam badan merbuk hingga membuatkan ulat tidak berani untuk memakannya.
Menurut seorang lagi rakan saya dia pernah menyaksikan pertandingan seni suara burung di Wilayah Yala suatu ketika dahulu. Ratusan peserta mengambil bahagian termasuk dari Malaysia, Singapura dan Indoesia. Biasanya yang menang peserta Thailand juga. Selepas menang burung yang jadi juara itu akan dijual dengan harga yang boleh ditukar dengan sebuah kereta. Rakan saya yang sering ke Thailand itu juga pernah bertemu jutawan burung semasa berada di Daerah Chenak (Channa) di Selatan Thialand. Di rumah dia terdapat makmal burung. Pembeli burung yang berkunjung ke rumahnya disediakan tempat santai atau berehat untuk mendengar suara burung sebelum membeli mana yang berkenan.