Sabtu, 1 Mei 2010, Hari Buruh atau Hari Pekerja dirayakan di seluruh dunia. Pekerja rata-rata menyambutnya dengan cuti umum namun Burung Segan tetap dengan pekerjaannya, bertukang pada sebelah malamnya.
Tidak tepat jika orang Utara katakan Burung Segan itu pemalas kerana ia suka tidur di siang hari. Sebenarnya dia tidur waktu siang kerana dia berkerja shif malam, itu saja alasannya mengapa dia disangka pemalas.
Sudah lama saya mencarinya tapi memang sukar untuk mengambil gambar kerana Burung Segan keluar pada waktu malam. Kehadirannya tidaklah banyak, mungkin 2 atau 3 ekor cuma.
Pada waktu siang dimana ia tidur tidaklah diketahui sangat.
Malam tadi ia hinggap di ranting yang agak tinggi diterangi oleh sedikit cahaya lampu jalan dan dengan menggunakan built-in flash daripada kamera saya dapat tangkap gambar Burung Segan ini. Lantunan cahaya membuatkan sebelah biji matanya kelihatan lebih besar daripada yang satu lagi.
Barangkali, mulai dari saat ini Burung Segan molek ditukar namanya ke nama lain. Saya cadangkan nama "Allergi Senja", bagaimana?